Assalamualaikum w.b.t
Hidup bukanlah sebuah peperangan,
perlumbaan dan persengketaan antara satu sama lain.
Tanpa kita sedari, kita diajar
untuk saling bermusuh, saling berlumba dan saling bersengketa di antara kita.
Memang, semua tidak bersetuju dengan sikap-sikap ini, namun dalam masa yang
sama kita sedang menerapkannya.
![]() |
| Gambar hiasan |
Bermula di saat kita kecil
hinggalah kita mati, kita belajar dan menerapkan sikap-sikap ini dalam
kehidupan kita.
Ketika kecil, kita saling berlumba
dengan adik-beradik kita untuk mendapatkan sesuatu seperti makanan, hadiah dll.
Di peringkat sekolah menengah,
kita diajar berlumba-lumba mendapatkan keputusan yang cemerlang. Hanya belajar
sahaja dan hampir tiada ruang untuk hak-hak orang lain seperti menunaikan hak
ibu bapa dan adik beradik.
Di peringkat universiti, kita
sekali lagi dipaksa berlumba-lumba mendapatkan keputusan yang cemerlang demi
mendapatkan pekerjaan yang baik.
Ketika mencari pasangan, kita
sekali lagi bersaing dengan kawan-kawan bagi mendapatkan wanita idaman kita.
Sebenarnya, hampir mustahil untuk
menyebutkan contoh-contoh perlumbaan dalam kehidupan kita kerana semuanya
berbau perlumbaan, peperangan dan persengketaan.
Persoalannya, adakah benar hidup
ini bertujuan untuk itu?
Tidak sama sekali! Manusia bukan
datang untuk itu. Manusia datang
dengan tujuan yang lebih murni dan mulia. Tadabburlah wahai rakan-rakan pembaca
ayat-ayat Ilahi yang jelas menggariskan kita bahawa hidup ini perlu dilakukan
dalam bentuk harmoni, bekerjasama dan bantu membantu.
Allah s.w.t. berfirman:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ
وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا
Maksudnya:
“Wahai manusia,
sesungguhnya kami menciptakan kamu sebagai lelaki dan perempuan dan menjadikan
kamu berbilang bangsa dan berpuak-puak agar kamu saling mengenali” (Surah Al-Hujurat: 13)
Allah s.w.t. telah
menegaskan dengan jelas bahawa kepelbagaian dan perbezaan yang kita ada bukan
bertujuan untuk kita saling menindas tetapi untuk kita saling mengenali. Tiada bangsa yang tinggi darjatnya atau
rendah darjatnya. Semuanya satu taraf. Semuanya diakui haknya sebagai manusia.
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا
تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya:
“Dan saling
membantulah kamu dalam kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu saling membantu
dalam perkara dosa dan permusuhan”
(Surah Al-Maidah: 2)
Kita perlu saling membantu dalam semua urusan samada urusan agama mahupun
urusan dunia. Dengan syarat, urusan ini termasuk dalam amalan yang baik dan
bukannya dalam amalan-amalan yang dosa.
Pernahkah kita melihat seorang
bayi? Pastinya semua pernah melihatnya. Bayi bersifat lembut dan manis
dipandang. Seorang ibu yang menjaga bayinya seharian pasti berasa penat dengan
kerenah seorang bayi, tetapi bagaimanakah si ibu ini mampu bertahan terutamanya
di peringkat bayi ini tanpa mengambil cuti? Semuanya kerana penat itu telah
hilang dengan sifat bayi yang lembut dan manis dipandang. Itulah kita manusia!
Manusia perlu bersikap lemah lembut dan manis dipandang dalam tingkah laku dan
sifatnya. Kita perlu kekalkan sikap-sikap ini.
Tetapi kenapa selepas kita membesar dan mengenali dunia, kita mula mengikis
sifat murni ini dan mula bersikap sombong, berlumba-lumba dan mementingkan diri
sendiri? Apakah yang telah meracuni diri kita? Dunialah yang mencorak diri
kita! Kerana kita mengikut arus dunia. Dunia banyak melatih sifat-sifat
ini.
Berjaga-jagalah kawan-kawan,
sikap seperti ini bakal mengikis sikap kehambaan kita kepada Allah s.w.t. dan
seterusnya mencacatkan sifat taqwa kita. Sedangkan, taqwalah merupakan sifat
yang paling mulia dan menjadi idaman seorang mukmin. Taqwalah destinasi
terakhir kita!
إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ
Maksudnya:
“Sesungguhnya orang yang paling mulia
di kalangan kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertqwa” (Surah
Al-Hujurat: 13)
Matlamat kita juga adalah
menjadi hamba Allah s.w.t. dan menjadi ‘duta’ agamanya yang beramanah dan
berintegriti.
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Maksudnya:
“Dan tidaklah aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka
menyembah Ku”
(Surah Az-Zariyat:
56)
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي
الْأَرْضِ خَلِيفَةً
Maksudnya:
“Dan apabila berkata Allah kepada
malaikat-malaikat sesungguhnya aku akan menjadikan di bumi ini khalifah
(manusia)” (Surah
Al-Baqarah: 30)
Kesimpulan
Kembalilah kita kepada sifat asal kita!
Jadilah seorang yang lemah lembut dan sopan santun serta saling membantu demi
menggapai sebuah kejayaan. Elakkan permusuhan dan persengketaan sesame sendiri.
Jadikanlah bumi ini sebagai ‘taman bahagia’ yang penuh dengan warna warninya.
Sekian sahaja buat
kesempatan kali ini.
Ar-Razi
Sumber Gambar : Google Image








7:50:00 PM
MiserAtoi





